Penafian: Pihak admin tidak bertangungjawab diatas sebarang kemungkinan berlaku berkaitan blog ini. Dikuasakan oleh Blogger.

MySKMS

Isnin, 5 Mac 2012

PROGRAM GURU PENYAYANG


Majlis Pelancaran Program Guru Penyayang pada 05 Mac 2012 SKMS

TUGAS pendidik atau guru bukan setakat menyalurkan ilmu pengetahuan, tetapi merangkumi pendidikan akhlak kepada anak murid.

Mengajar dalam apa bidang sekalipun, aspek membina sahsiah peribadi seharusnya diletakkan sebagai teras kepada usaha pendidikan.

Dalam zaman serba moden serta mencabar, kerjaya guru juga semakin mencabar. Banyak kali dilaporkan mengenai adanya segelintir kecil guru yang tidak dapat mengawal emosi lantas mengambil tindakan menghukum anak didik di luar batas etika sebagai seorang pendidik.

Justeru, guru perlulah sentiasa ingat bahawa mendidik manusia memerlukan kesabaran tinggi dan nilai kasih sayang yang kental. Tanpa dua sifat penting itu, guru akan berhadapan masalah.

Panduan ditunjukkan Rasulullah SAW perlu dijadikan amalan ketika memenuhi tugas mendidik anak bangsa. Banyak kisah dan peristiwa dilalui Rasulullah SAW mempamerkan perwatakan luhur pendidik yang unggul untuk dicontohi, tetap relevan sepanjang zaman dan kalis masa.

Diriwayatkan oleh Anas bin Malik: “Sedang kami berada dalam masjid bersama Rasulullah SAW, seorang Badwi datang dan duduk mencangkung membuang air kencing di dalam masjid. Sahabat berkata kepada lelaki Badwi itu: Berhenti! Berhenti!” Namun Rasulullah SAW berkata: “Jangan ganggu dan biarkan dia sendiri.”

Oleh demikian, mereka pun membiarkan saja lelaki itu selesai membuang air kencingnya. Kemudian Rasulullah SAW memanggil lelaki berkenaan dan berkata kepadanya: “Di dalam masjid tidak dibenarkan melakukan perkara seperti membuang air kencing atau membuat kerosakan kerana masjid tempat beribadat kepada Allah, tempat solat dan membaca al-Quran.”

Kemudian Rasulullah SAW mengarahkan seorang lelaki supaya mengambil sebaldi air untuk membasuh kawasan tempat lelaki Badwi itu kencing. Iktibar yang boleh diambil daripada kisah itu adalah jangan bersikap terburu-buru terhadap orang yang melakukan kesalahan. Rasulullah
SAW dalam peristiwa itu jelas mempamerkan sikap berpandangan jauh dalam menghadapi sesuatu keadaan.




Menegur kesalahan seseorang dengan cara berhemah dan lemah lembut disertakan penjelasan terperinci kesalahan dilakukan adalah prinsip pendidikan yang dibawa Nabi SAW dan inilah contoh seharusnya diikuti guru.

Kisah Rasulullah SAW itu juga mengajar kita perlu bersikap lemah lembut apabila mengendalikan seseorang yang jahil dan mestilah mengajar orang seperti itu perkara yang patut diketahuinya tanpa memarahinya, selagi dia tidak menunjukkan sikap berdegil.

Imam al-Ghazali pernah menggariskan beberapa kriteria unggul seorang pendidik antaranya, guru harus sabar menerima pelbagai masalah murid dan menerimanya dengan baik. Guru hendaklah bersifat penyayang dan tidak pilih kasih terhadap anak didiknya.

Confucius, seorang ahli falsafah dan pendidik Cina yang sangat terkenal. Dirinya sebagai seorang guru, menggunakan kaedah dan pendekatan pendidikan yang sangat informal, bersesuaian dengan karektor individu yang berbeza-beza. Beliau mencadangkan kepada anak didiknya apa yang perlu dipelajari, berbincang dengan mereka dan kadang kala hanya mendengar hujah dan ulasan anak didiknya dengan sabar.

Cadangan diberikan anak didiknya untuk memperkembangkan kekuatan, dan memperbaiki kelemahan. Beliau mengatakan bahawa pendidikan hendaklah dilaksanakan dengan penuh kasih sayang. Oleh itu, beliau mendidik tanpa mengira latar belakang anak didiknya.

Anna Eleanor Roosevelt, warga Amerika Syarikat, seorang pejuang hak asasi manusia yang terkenal, pernah mengatakan bahawa “The giving of love is an education in itself”. Beliau berpendapat bahawa tindakan memberi kasih sayang itu sudah merupakan satu bentuk pendidikan. Pandangan ini menunjukkan betapa pentingnya seorang pendidik untuk sentiasa menunjukkan sifat kasih sayang dan mencipta hasil signifikan ke atas orang yang dididiknya.

Guru yang penyabar dan penyayang akan berjaya dalam kerjayanya. Apabila nilai itu tersemat kukuh, guru pasti akan menyedari bahawa sabar itu memberkati usaha gigihnya mendidik. Selain itu, guru juga perlu bersedia menerima kepelbagaian watak dan perbezaan tahap kecerdasan anak didik supaya proses pengajaran akan dapat dilaksanakan dengan fikiran tenang.

Dipetik daripada kertas konsep Guru Penyayang

0 ulasan:

MySKMS Mesej

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

PENAFIAN / DISCLAIMER

© 2010 BLOG SK MAHKOTA SARI, Hakcipta Terpelihara. Semua tulisan, pendapat, komen dan foto yang ada di blog ini adalah kepunyaan SK MAHKOTA SARI melainkan dinyatakan sebaliknya. PIHAK SK MAHKOTA SARI tidak akan bertanggungjawab ke atas sebarang kehilangan atau kerosakan yang diakibatkan oleh penggunaan maklumat yang diperolehi daripada blog ini.

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP